KOTA KINABALU, 26 Ogos 2026 – Koperasi Kakitangan Perkhidmatan Pelajaran Sabah Berhad (Ko-Pelajaran) terus memperkemas pengurusan dan meningkatkan daya saing menerusi agenda transformasi digital, pengukuhan tadbir urus serta peningkatan mutu perkhidmatan demi manfaat anggotanya.
Pengerusi Ko-Pelajaran, Datuk Dr Haji Sairin Haji Karno berkata, koperasi itu mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara peneraju pendigitalan gerakan koperasi di Sabah, khususnya dalam menghadapi perubahan keperluan pengurusan dan anggota.
Menurutnya, penggunaan teknologi perlu dilihat lebih jauh daripada sekadar mengadaptasi sistem digital, sebaliknya mesti mampu menyelesaikan keperluan sebenar organisasi, mempercepatkan proses kerja, memudahkan capaian maklumat serta membantu pengurusan membuat keputusan berdasarkan data yang tepat dan semasa.
“Fokus kita bukan hanya untuk menggunakan teknologi, tetapi memastikan setiap teknologi yang diterapkan benar-benar memberi manfaat kepada anggota dan pada masa sama menjadikan sistem pengurusan koperasi lebih tersusun serta berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahun 2026 Ko-Pelajaran di Wisma Ko-Pelajaran, Plaza Riverside Kingfisher, di sini, hari ini.
Dr Sairin berkata, usaha memperluas pendigitalan perlu dilaksanakan bersama sistem pengurusan berkualiti yang berteraskan MS ISO 9001:2015, Kitaran PDCA iaitu Plan, Do, Check, Act serta Formula KLP yang merangkumi Kabinet, Laci dan Poker.
Katanya, pendekatan itu jika digabungkan dengan penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) berupaya mewujudkan sistem pengurusan digital yang lebih pantas, telus, berkualiti dan mampu bertindak balas terhadap keperluan semasa.
“ISO 9001:2015 menekankan kepentingan pengurusan yang tersusun, pendekatan berasaskan proses, pengurusan risiko, kepuasan anggota dan usaha penambahbaikan secara berterusan.
“Dalam masa sama, PDCA menjadi panduan untuk kita merancang, melaksanakan, menilai dan melakukan tindakan pembetulan terhadap sesuatu proses,” katanya.
Beliau berkata, perubahan ke arah pengurusan digital juga perlu disokong pembentukan budaya kerja yang mengutamakan kualiti dalam kalangan seluruh warga organisasi.
Katanya, setiap proses pengurusan perlu mempunyai dokumentasi dan rekod yang jelas, manakala sesuatu keputusan hendaklah dibuat berdasarkan maklumat yang kukuh supaya sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan diperbaiki secara berterusan.
Dalam pada itu, Dr Sairin turut menggalakkan penglibatan lebih besar generasi muda dalam agenda pendigitalan Ko-Pelajaran.
Menurutnya, golongan berkenaan perlu diberikan peluang untuk menimba pengalaman, mengembangkan kemahiran serta dipersiapkan sebagai barisan kepimpinan dan pengurusan koperasi yang mampu mengendalikan perubahan digital pada masa depan.
“Cabaran kita sekarang adalah bagaimana pengalaman dan kekuatan yang telah dibina Ko-Pelajaran dapat diteruskan melalui kaedah pengurusan yang lebih moden, cekap, telus, digital dan berkualiti.
“Saya berharap seluruh anggota memberikan sokongan terhadap usaha perubahan ini, daripada pendekatan koperasi tradisional kepada koperasi digital, daripada pengurusan manual kepada sistem yang lebih tersusun dan daripada amalan kerja biasa kepada pengurusan berasaskan standard serta penambahbaikan berterusan,” katanya.
Beliau yakin komitmen dan kesepaduan antara anggota serta warga kerja akan menjadi kekuatan utama untuk memastikan Ko-Pelajaran terus berkembang sebagai sebuah koperasi yang berdaya saing, berkualiti dan mengutamakan kepentingan anggota.
Katanya, kejayaan agenda berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan nilai dan manfaat kepada anggota, malah berpotensi menyumbang kepada pengukuhan serta perkembangan gerakan koperasi di Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
