WASHINGTON: Seorang anggota Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang terjun dari kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln bulan ini dalam kejadian yang disifatkan isterinya sebagai cubaan membunuh diri, kini berdepan tindakan tatatertib.
Anggota tersebut dilaporkan berdepan tindakan tatatertib tanpa melalui perbicaraan di bawah Kod Seragam Keadilan Ketenteraan (UCMJ).
Menurut dokumen yang diteliti MS NOW, anggota berkenaan didakwa atas kesalahan berpura-pura sakit bagi mengelak tugas serta tidak hadir bertugas tanpa kebenaran dan boleh dikenakan potongan sehingga separuh daripada gajinya.
“Saya rasa mereka tidak waras kerana melakukan perkara ini terhadap orang yang memerlukan bantuan kesihatan mental,” kata isterinya kepada saluran media AS itu.
Ketika ditanya mengapa Tentera Laut AS mengambil tindakan terhadap cubaan membunuh diri, seorang pegawai berkata, pihaknya komited terhadap kebajikan setiap anggotanya dan mendapatkan bantuan merupakan tanda kekuatan.
Kerahan USS Abraham Lincoln dilanjutkan berulang kali ketika perang terhadap Iran, mencetuskan bantahan berhubung tekanan yang dihadapi anak kapal akibat tempoh terlalu lama berada di laut serta keadaan yang semakin buruk di atas kapal pengangkut pesawat itu.
Sekumpulan senator Demokrat turut menuntut pendengaran berhubung keadaan tersebut.
Kapal pengangkut pesawat USS George Washington tiba di Asia Barat awal bulan ini bagi mengambil alih tugas USS Abraham Lincoln.
Kredit sumber: UTUSAN MALAYSIA
