KUCHING: Sarawak tidak mengadakan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun ini berikutan jerebu yang melanda sebahagian besar daripada negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata, keadaan itu menyebabkan sambutan yang sepatutnya berpusat di Kapit tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.
“Pada tahun ini kita tidak mengadakan perhimpunan peringkat negeri yang sepatutnya berpusat di Kapit ekoran daripada jerebu yang melanda sebahagian besar daripada negeri ini,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 hari ini.
Bagaimanapun, Abang Johari mengajak rakyat Sarawak untun terus menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini serta memelihara perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Sempena Hari Kebangsaan Ke-69 ini, marilah kita terus menghargai keamanan dan keharmonian yang kita nikmati selama ini serta memelihara perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat bersama-sama membina Sarawak yang menjadi kebanggaan kepada generasi akan datang.
“Marilah kita sama-sama membina Sarawak yang akan menjadi kebanggaan kepada generasi yang akan datang,” katanya sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 kepada seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia.
Dalam pada itu, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan Kerajaan Persekutuan pimpinan beliau akan terus memperkukuh kerjasama dengan Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang.
“Saya yakin dan percaya dengan semangat menang-menang antara pemimpin persekutuan dan Sarawak dan Sabah, wilayah ini akan terus mengorak langkah untuk menjalani transformasi daripada sebuah ekonomi komoditi kepada ekonomi hijau berteknologi tinggi dan lestari di bawah lindungan payung Malaysia yang progresif dan stabil, insya-Allah,” katanya.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online/Disiarkan pada 30 Ogos 2026
