KUCHING: Sebanyak 106 motosikal disita manakala 290 saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Lebuhraya Pehin Sri Adenan Satem.
Operasi bermula jam 11 malam hingga 6 pagi tadi turut menyaksikan dua lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 21 tahun ditahan dan dua motosikal dirampas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi berkenaan melibatkan lima pegawai kanan polis bersama 32 anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, BSPT IPD Kuching serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuching.
“Sepanjang operasi, seramai 192 individu dan 167 kenderaan telah diperiksa. Sebanyak 106 motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 290 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi itu bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan serta tidak mengubah suai struktur asal kenderaan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Polis akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Kredit sumber: TV Sarawak/Disiarkan pada 30 Ogos 2026
