PENAMPANG, 4 September 2026 – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas teman wanitanya meninggal dunia, dipercayai akibat dipukul susulan perselisihan faham antara mereka.
Menurut siaran media Ketua Polis Daerah Penampang melalui Facebook pada 2 September 2026, mangsa berusia 44 tahun sebelum itu dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu menggunakan ambulans pada 31 Ogos lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada malam yang sama ketika menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang menjalankan siasatan sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun.
Menurutnya, suspek dipercayai mempunyai hubungan sebagai teman lelaki kepada mangsa.
“Siasatan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum wanita berkenaan dipercayai dipukul,” katanya dalam kenyataan.
Sammy berkata, siasatan turut mendapat kerjasama Bahagian Forensik (D10), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menerusi pemeriksaan di tempat kejadian.
Katanya, beberapa barangan kes serta sampel berkaitan turut diperoleh untuk membantu siasatan dan analisis forensik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.
“Semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan berhubung kejadian sehingga siasatan lengkap dan proses undang-undang selesai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Hairie Awang Akub menerusi talian 016-8032849 atau dengan hadir ke balai polis berhampiran. – DAKWAT RAKYAT POST
