WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis berkata, beliau akan meminta negara-negara Eropah membayar semula kepada Washington bagi bantuan ketenteraan dan bekalan peluru yang sebelum ini disalurkan kepada Ukraine dalam perang menentang Rusia.
Dalam hantaran di media sosial, Trump turut memberi bayangan bahawa penjualan bekalan ketenteraan kepada negara-negara sekutu mungkin dihentikan sementara bagi membolehkan AS mengutamakan keperluan sendiri.
“Kami mengambil bekalan itu untuk diri kami sendiri, Amerika Syarikat dan bukannya menjualnya kepada pihak lain. Namun, penjualan kepada sekutu akan disambung semula tidak lama lagi,” katanya.
Trump turut mengkritik pentadbiran bekas Presiden Joe Biden yang menurutnya telah menyalurkan bantuan ketenteraan bernilai ratusan bilion dolar kepada Ukraine dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tanpa sebarang bayaran.
“Ratusan bilion dolar diberikan kepada Ukraine dan NATO secara percuma, sedangkan Eropah sepatutnya membayarnya jika diminta. Walaupun agak lewat, kami akan menuntut semula wang itu,” katanya.
Pada tahun lalu, AS dan NATO memperkenalkan inisiatif Prioritised Ukraine Requirements List, yang membolehkan negara-negara Eropah membiayai penghantaran senjata buatan AS kepada Ukraine.
Kenyataan Trump itu dibuat ketika timbul kebimbangan mengenai tahap kesiapsiagaan ketenteraan AS selepas laporan bahawa sebahagian besar stok peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi negara itu digunakan dalam konflik dengan Iran.
Laporan Reuters bulan lalu menyebut, Tentera Darat AS telah menggunakan sejumlah besar bekalan peluru berpandu tersebut sepanjang perang dengan Iran, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keupayaan negara itu menghadapi konflik masa depan.
Perang di Ukraine dan Iran, selain kesan ekonominya, dijangka terus menjadi isu utama yang boleh mempengaruhi sokongan pengundi terhadap Parti Republikan dalam usaha mengekalkan penguasaan kedua-dua dewan Kongres pada tahun hadapan.
Harga minyak meningkat
Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak dunia pada Khamis melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh enam minggu susulan serangan terbaharu AS ke atas Iran dan ancaman baharu Israel terhadap Tehran.
Situasi itu menghidupkan semula kebimbangan mengenai gangguan bekalan tenaga dari Asia Barat, terutama apabila pergerakan kapal dagang masih terhad di Selat Hormuz, laluan penting perdagangan minyak dunia.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menyalahkan sebahagiannya tindakan Ukraine menyerang infrastruktur tenaga Rusia sebagai faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga minyak dan gas global.
“Kita sedang berdepan kejutan tenaga ketika ini akibat perang di Ukraine. Ukraine memutuskan untuk menyerang aset tenaga dan produk petroleum bertapis Rusia, yang memberi tekanan kenaikan harga pada peringkat global, selain konflik di Iran,” katanya dalam wawancara dengan Fox News.
Kenyataan itu dibuat ketika pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik berpanjangan di Ukraine dan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Kredit sumber: Agensi/Astro AWANI
