MIRI: Aduan orang ramai berhubung peningkatan mendadak bil elektrik berbanding penggunaan dan jumlah bil pada bulan-bulan sebelumnya perlu disiasat serta disemak secara menyeluruh bagi memastikan punca sebenar kenaikan berkenaan.
Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (gambar) berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk di Miri dan kawasan sekitarnya mengenai perkara itu yang didakwa memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah.
Menurutnya, isu berkenaan perlu dipandang serius memandangkan peningkatan bil elektrik turut memberi tekanan kepada kos sara hidup yang kini menjadi kebimbangan ramai.
“Ramai pengguna turut mempersoalkan peningkatan bil ini kerana tidak mendapat penjelasan yang jelas daripada pihak Sarawak Energy,” jelas Chiew dalam satu kenyataan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia itu berkata, antara perkara yang perlu dikenal pasti ialah sama ada peningkatan bil berpunca daripada pertukaran meter, peningkatan penggunaan sebenar, bacaan meter, bil anggaran, struktur tarif atau kemungkinan berlaku isu dalam sistem pemprosesan pengebilan.
Beliau berkata, semakan juga wajar meliputi ketepatan bacaan meter, perbandingan bil anggaran dengan bacaan sebenar serta penggunaan elektrik bulan semasa berbanding bulan-bulan terdahulu.
“Selain itu, sebarang perubahan pada kaedah atau sistem pengebilan serta pengiraan caj mengikut kategori dan blok tarif yang berkuat kuasa juga perlu diteliti.
“Paling penting, kita perlu memastikan sama ada terdapat sebarang kesilapan sistem yang menyebabkan bil tertentu meningkat secara luar biasa,” katanya.
Chiew berkata beliau akan membawa perkara itu kepada perhatian pihak berkuasa selain mendapatkan penjelasan berhubung aduan yang diterima daripada masyarakat Miri.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
