SHAH ALAM – Ketua Penolong Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) didenda RM10,000 dan penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM28,000, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Suhaila Md. Zaini, 47, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya Suhaila gagal membayar denda.
Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagaimanapun dibenarkan, namun wang jaminan dinaikkan kepada RM10,000 sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd. Nasir dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh meminjam wang RM10,000 daripada seorang individu merupakan pembelaan fikiran terkemudian (afterthought) kerana bayaran balik ‘hutang’ itu hanya dibuat selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan pada Oktober 2019.
Katanya, cara pembayaran wang menggunakan akaun pihak ketiga menunjukkan bahawa tertuduh cuba menyembunyikan kesalahan tersebut.
“Pembelaan tertuduh bahawa wang RM18,000 yang diterima digunakan bagi perbelanjaan dan pembayaran program-program RTM ditolak.
“Malah, resit-resit yang dikemukakan tertuduh sebaliknya menyokong kes pendakwaan kerana menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai wang tunai banyak untuk membuat bayaran kepada pembekal-pembekal yang terlibat dalam program yang dijalankan RTM.
“Ini secara tidak langsung mengesahkan tertuduh sememangnya mempunyai wang tunai RM18,000 seperti dalam pertuduhan dan kemudiannya menggunakan wang tersebut,” katanya.
Jelasnya, tiada keterangan bahawa wang tunai RM18,000 tersebut telah dibayar melalui saluran rasmi RTM.
“Sebaliknya, wang itu diterima secara peribadi melalui individu yang mengendalikan program RTM menggunakan akaun syarikat produksi RTM,” katanya.
Suhaila didakwa sebagai Ketua Penolong Pengarah yang bertugas di Unit Bicarawara, Seksyen Ehwal Semasa RTM menerima suatu bayaran RM10,000 daripada sebuah syarikat dan wang tunai RM18,000 daripada seorang individu tanpa balasan yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh sebagai Penerbit Rancangan di RTM antara 17 April dan 9 Julai 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri, manakala tertuduh diwakili Shahidah Muslimah Roslan.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
