BATU PAHAT: Terdesak untuk membayar hutang, seorang wanita tergamak membelasah ibu saudaranya yang bergelar datin hingga parah dengan menggunakan kayu golf dalam cubaan samun di sebuah rumah dekat Parit Raja di sini semalam.
Berdasarkan laporan polis, kejadian berlaku pada jam 3.10 petang ketika mangsa wanita berusia 71 tahun itu bersendirian di rumah sebelum didatangi suspek.
Ketika kejadian, anak mangsa tiada di rumah kerana mempunyai urusan di luar.
Suspek memasuki rumah dan bertindak memukul ibu saudaranya menggunakan kayu golf yang milik arwah suami wanita itu di kepala dan kedua-dua pergelangan tangan hingga cedera.
Mangsa kemudiannya bertindak menjerit meminta pertolongan jiran yang menyebabkan suspek terburu-buru keluar dari rumah, melarikan diri sambil membawa kayu golf.
Jiran mangsa kemudian bergegas ke rumah mangsa sebelum mendapati wanita itu dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghubungi batuan polis.
Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan aggota Jabatan Siasatan Jenayah Polis Batu Pahat berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah rumah dekat Parit Raja untuk membantu siasatan.
Polis turut merampas kayu golf yang digunakan untuk menyerang mangsa. Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan ditahan dalam wad untuk pemeriksaan pakar berikutan kecederaan di kepala, muka, bahu dan pergelangan tangan.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi ini untuk tahanan reman kerana disyaki mencederakan ibu saudaranya.
Perintah reman selama lima hari ke atas suspek berusia 28 tahun bermula hari ini dikeluarkan Majistret, Aimi Nawwar Mohamad Othman, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 8 September 2026
