JAYAPURA – Program Makan Bergizi Gratis (MBG) Presiden Indonesia, Prabowo Subianto terus dihimpit kontroversi apabila seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dari Sumatera Utara dilaporkan mengalami kemerosotan kesihatan serius selepas dipercayai mengalami keracunan makanan.
Lebih membimbangkan, mangsa dikenali sebagai FP bukan sahaja dilaporkan mengalami masalah kesihatan malah kini dipercayai mengalami gangguan ingatan sehingga tidak mampu mengenali ahli keluarga dan rakan sekolahnya.
Ketika ini, pelajar SMK Bersama Berastagi itu sedang menjalani beberapa pemeriksaan perubatan secara intensif selain rawatan susulan di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) H Adam Malik, Medan.
Ibu mangsa, Elvinus Lusiana Sitanggang, 49, berkata kejadian itu bermula selepas anaknya menikmati hidangan MBG yang berlaukkan ikan tongkol.
Menurutnya, ikan tersebut berasa pahit dan keras, namun FP tetap memakannya kerana terlalu lapar.
Selain gangguan ingatan, keadaan fizikal FP turut terjejas terutamanya pada bahagian mulut.
Lidah FP dilaporkan semakin tertarik ke dalam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesukaran untuk bercakap.
Rawatan terhadap FP kini melibatkan pasukan perubatan daripada tiga bidang kepakaran bagi mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan keadaan kesihatannya merosot.
Kredit sumber: Agensi/Sinar Harian
