Kuala Terengganu: “Walaupun almari menyimpan naskah al-Quran hangus, namun kalam Allah itu tidak disentuh api dan masih dalam keadaan baik” kata Nafisah Endon, 72, dari Perumahan Teluk Pasu, dekat sini, semalam.
Nafisah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam ketika dia berada di dalam bilik air.
Katanya, dia terhidu asap tebal sebelum keluar dan melihat sebuah bilik terbakar.
“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat dan terus keluar untuk menyelamatkan diri.
“Ketika itu, anak dan cucu berada di halaman rumah kerana baru pulang dari taman permainan.
“Kebakaran merebak pantas menyebabkan keseluruhan rumah hangus termasuk bahagian dapur serta bumbung rumah jiran di sebelah kiri dan kanan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, akibat kejadian, dia mengalami kerugian lebih RM300,000 apabila wang tunai, barang kemas dan mesin jahit yang menjadi sumber pendapatannya turut hangus.
Menurutnya, selepas kebakaran dipadamkan, ahli keluarganya mendapati naskhah al-Quran yang disimpan di dalam sebuah almari tidak hangus dan masih dalam keadaan baik.
“Bahagian luar naskhah hitam, tetapi apabila dibuka, helaian al-Quran di dalamnya masih elok… ini menunjukkan betapa besarnya kuasa Allah.
“Kalau mengikut logik, sudah tentu al-Quran itu turut terbakar, namun sebaliknya yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, anaknya, Nurul Hasni Ahmad, 34, berkata dalam tempoh 10 hingga 15 minit, keseluruhan rumah sudah hangus, termasuk sebahagian rumah jiran yang turut terjejas akibat kejadian itu.
Katanya, dia bersyukur ibunya sempat menyelamatkan diri walaupun rumah musnah sepenuhnya.
Kredit sumber: Harian Metro
