SEMPORNA: Isu keganasan terhadap wanita khususnya gangguan seksual perlu ditangani dengan lebih serius dan memerlukan tindakan kolektif serta bersepadu daripada semua pihak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri.
Beliau berkata, perkara itu menjadi fokus utama Program Toleransi Sifar Keganasan Semporna anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), yang dirasmikannya hari ini.
Menurut Nancy, kerajaan terus memperkukuh usaha menangani gangguan seksual termasuk melalui penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].
Katanya, penguatkuasaan akta berkenaan turut melibatkan penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), yang menyediakan platform alternatif, mudah, murah dan cepat untuk mangsa menuntut hak mereka.
“Sehingga Ogos 2026, sebanyak 129 aduan telah difailkan dan 88 daripadanya berjaya diselesaikan.
“Ini membuktikan tribunal mampu menjadi saluran berwibawa yang membawa keadilan kepada mangsa,” katanya.
Nancy berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes gangguan seksual yang membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, sebanyak 477 kes direkodkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 522 kes pada 2023, 788 kes pada 2024 dan 1,083 kes pada tahun lalu.
“Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 388 kes gangguan seksual telah dilaporkan, dengan 31 kes daripadanya berlaku di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata KPWKM melalui JPW turut menggerakkan Kempen Eliminate Violence Against Women (EVAW), iaitu kempen sepanjang tahun bagi memastikan agenda menghentikan keganasan terhadap wanita dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Beliau berkata, isu keganasan rumah tangga juga menunjukkan angka yang signifikan apabila sebanyak 7,116 kes direkodkan pada 2024, meningkat kepada 7,391 kes tahun lalu dan 4,014 kes sehingga Jun tahun ini.
Katanya, perkembangan itu menjelaskan bahawa isu keselamatan wanita merupakan krisis yang memerlukan tindakan bersama serta penyelesaian yang tegas dan bersepadu.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Ketua Pengarah JPW, Puan Hanani Sapit; serta pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi kementerian.
-ends-
