PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin serta dua lagi untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada Lim Guan Eng kerana memfitnah penasihat DAP itu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh, membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Zuraida; editor MalaysiaNow, Muhammad Abd Ar-Rahman Koya serta MNow Media Sdn Bhd.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Mohd Firuz berkata, artikel yang dipertikai tidak menimbulkan maksud tersirat seperti yang didakwa oleh Guan Eng.
“Kami mendapati terdapat kekhilafan yang jelas dalam penghakiman Mahkamah Tinggi dan sehubungan dengan itu, keputusan terbabit tidak boleh dikekalkan,” katanya sambil menambah bahawa cara Mahkamah Tinggi menangani pembelaan dalam kes itu amat tidak memuaskan.
Beliau berkata, analisis akhir mahkamah menunjukkan bahawa penilaian Mahkamah Tinggi terhadap pembelaan justifikasi adalah bersandarkan kepada dokumen semata-mata, bukannya berdasarkan apa yang berlaku antara kedua-dua menteri ketika mereka bertemu pada waktu itu.
Mohd Firuz berkata, terdapat dapatan yang tidak konsisten apabila dalam satu bahagian, Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wujud niat jahat, namun di bahagian lain pula mendapati tiada bukti mengenai niat jahat.
Pada 7 Jun 2024, Guan Eng memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menamakan Zuraida, Muhammad Abd Ar-Rahman Koya dan MNow Media sebagai defendan.
Menerusi pernyataan tuntutan, bekas Menteri Kewangan itu mendakwa Zuraida membuat kenyataan palsu mengenai dirinya berkaitan projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, Selangor.
Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada Guan Eng dan memutuskan bahawa kenyataan yang dipertikai adalah berunsur fitnah serta memberikan ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Ketiga-tiga defendan merayu terhadap keputusan itu, manakala Guan Eng mengemukakan rayuan terhadap jumlah ganti rugi yang diberikan kepada beliau oleh Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, peguam Datuk Sankara Narayanan Nair yang mewakili Guan Eng berhujah bahawa ganti rugi sebanyak RM50,000 yang diberikan Mahkamah Tinggi adalah tidak mencukupi dan berdasarkan perkembangan terkini dalam kes undang-undang, jumlah yang sepatutnya diberikan ialah RM250,000.
Peguam Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili ketiga-tiga defendan, pula berhujah bahawa kenyataan yang dibuat Zuraida dan kemudiannya diterbitkan oleh MNow Media bukan berunsur fitnah serta menggesa Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, Sankara memaklumkan media bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada Guan Eng sama ada untuk membawa perkara terbabit ke Mahkamah Persekutuan.
Kredit sumber: Berita Harian
