GEORGE TOWN: International Resources & Supply Sdn. Bhd. (IRS) dan Sri Melati Media Sdn. Bhd. (SM Media) menjalin kerjasama strategik dalam bidang media dan komunikasi korporat menerusi satu perjanjian kerjasama antara kedua-dua syarikat.
Menerusi kerjasama itu, SM Media dilantik sebagai perunding media IRS bagi menyediakan perkhidmatan meliputi sokongan media, komunikasi serta pengurusan komunikasi korporat.
Kerjasama berkenaan turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak menggabungkan kepakaran masing-masing, khususnya dalam memperkukuh strategi komunikasi dan meningkatkan keterlihatan korporat IRS selaras dengan perkembangan serta peluasan operasi perniagaannya.
Berpangkalan di George Town, Pulau Pinang, IRS merupakan sebuah syarikat perdagangan dan pengedaran tempatan yang ditubuhkan pada 2022.
Syarikat itu mengkhususkan kepada pembekalan bahan mentah dan produk industri termasuk resin polimer, produk petrokimia, bahan mentah industri, sebatian khusus, bahan tambahan, masterbatch warna serta bahan binaan.
Selain itu, IRS turut menyediakan perkhidmatan penempatan pekerjaan, sokongan rantaian bekalan serta kemudahan kredit fleksibel bagi membantu pelanggan mengurus keperluan aliran tunai dan rantaian bekalan.
Operasi IRS merangkumi pelbagai sektor industri termasuk produk isi rumah, pertanian, pembinaan, pembungkusan fleksibel dan tegar, telekomunikasi, automotif serta elektrik dan elektronik (E&E).
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani bagi pihak IRS oleh Pengarah Urusannya, Shaun Teh, manakala SM Media diwakili Pengarahnya, Haji Mohd Ridzal Bin Haji Abdullah.
Turut hadir sebagai saksi pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan ialah Pengarah Pembangunan Perniagaan IRS, Suhana Ong @ Ali.
Kerjasama itu dijangka membuka peluang lebih luas untuk mewujudkan sinergi antara sektor perniagaan dan media, selain memperkukuh komunikasi strategik serta penyampaian maklumat korporat kepada para pemegang taruh. – DAKWAT RAKYAT POST
