KUALA LUMPUR: Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi membantu menangani kebakaran hutan dan tanah di negara itu, susulan peningkatan risiko kebakaran serta jerebu rentas sempadan di rantau ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini berkata, menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mengutus surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Mohammad Jumhur Hidayat, bagi menyatakan kesediaan Malaysia menghulurkan bantuan berkenaan.
Menurut kementerian itu, tawaran berkenaan dibuat susulan perbincangan Arthur bersama Mohammad Jumhur pada pertemuan dua hala di Bali, Indonesia, pada 8 Julai lalu, selain perbualan telefon antara kedua-dua menteri pada 24 Ogos.
“Kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk memperkukuh tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi menghadapi risiko kebakaran dan jerebu merentas sempadan.
“Ia khususnya dalam keadaan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang meningkatkan risiko cuaca panas dan kering di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN berhubung isu pembakaran terbuka di negara jiran yang didakwa menyumbang kepada keadaan jerebu yang semakin buruk, khususnya di Sarawak.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata pada masa sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan mengutus surat kepada rakan sejawatannya di negara berkenaan bagi membincangkan isu itu.
Beliau berkata, isu pencemaran udara perlu ditangani sebaik mungkin bagi memastikan masalah berkenaan tidak berulang pada masa hadapan.
Kredit sumber: Berita Harian
