SEMPORNA: Harga tiket penerbangan yang tinggi susulan peningkatan kos operasi dikhuatiri memberi tekanan kepada industri pelancongan di Semporna, sekali gus berpotensi menyebabkan pelancong beralih ke destinasi lain.
Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kenaikan kos bahan api penerbangan yang dipengaruhi perkembangan harga minyak di peringkat antarabangsa merupakan faktor yang sukar dikawal.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa komponen kos operasi syarikat penerbangan yang boleh diteliti semula bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung pengendali penerbangan.
Menurutnya, antara perkara yang boleh dipertimbangkan ialah caj pendaratan serta beberapa bayaran lain yang dikenakan terhadap syarikat penerbangan.
“Minyak merupakan faktor luaran dan kita tidak dapat mengawalnya kerana ia berkait dengan keadaan antarabangsa.
“Namun, ada kos tertentu yang boleh dikurangkan bagi membantu syarikat penerbangan menurunkan perbelanjaan operasi. Antaranya termasuk caj pendaratan dan kos lain yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sebuah restoran francais di Semporna, di sini.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, syarikat penerbangan bukan sahaja berhadapan dengan kos bahan api, malah perlu menanggung perbelanjaan penyelenggaraan pesawat, gaji juruterbang dan bayaran balik pinjaman.
Katanya, semua aspek berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan syarikat penerbangan mampu meneruskan operasi, khususnya di laluan yang penting kepada industri pelancongan.
“Jika tiada sokongan, syarikat penerbangan mungkin menghadapi kesukaran untuk bertahan dan keadaan itu akhirnya akan memberi kesan kepada sektor pelancongan.
“Oleh itu, jumlah pelancong perlu ditingkatkan, begitu juga kekerapan penerbangan supaya kos operasi yang tinggi dapat ditampung melalui jumlah penumpang yang lebih ramai,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafie turut menggesa kerajaan mempertingkatkan produk dan kemudahan pelancongan di Sabah bagi menarik lebih ramai pelawat dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata, Sabah mempunyai pelbagai aset pelancongan yang berpotensi diketengahkan, termasuk destinasi pulau, kawasan pergunungan, kepelbagaian makanan serta lokasi popular seperti Sepilok dan Sandakan.
Katanya, usaha menarik lebih ramai pelancong perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan disokong dengan peningkatan kekerapan penerbangan ke destinasi utama di Sabah.
Menurut beliau, pertambahan jumlah pelawat dan penerbangan yang lebih kerap penting bagi membantu mengimbangi kos operasi syarikat penerbangan, selain memastikan industri pelancongan Sabah terus berkembang.
Shafie berkata, langkah memperkukuh kemudahan serta memperbanyakkan tarikan pelancongan juga perlu diberi perhatian supaya Sabah kekal menjadi pilihan pelancong, khususnya ke destinasi seperti Semporna yang mempunyai potensi besar dalam sektor berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
