KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui parti itu bersedih dengan keputusan penangguhan permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
“Kami bersedih dengan keputusan itu. Walau bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Kami merayu agar segala kebijaksanaan digunakan untuk membuat keputusan yang terbaik.
“Kami tetap menyokong institusi Raja-Raja, kami tetap mendaulatkan Raja-Raja dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik akan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, mengumumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Ia susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Dalam mesyuarat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan 65 banduan pada 11 September 2026.
BHEUU memaklumkan semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.
Kredit sumber: Astro AWANI
