KOTA KINABALU: Guru maut selepas Toyota Hilux dipandunya terbabas sebelum merempuh tujuh kenderaan berhampiran lampu isyarat, Jalan Kolam, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Arizal Wahid, 43, difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan dari arah Bukit Padang menuju ke Damai.
Allahyarham adalah Penolong Kanan Pendidikan Khas di sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux itu terbabas ketika tiba di lampu isyarat terbabit sebelum melanggar kenderaan jenis Ford dan motosikal.
“Ia kemudian merempuh bahagian belakang Nissan Navara yang berada di laluan sama sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar empat lagi kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shahrudin berkata Arizal ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II, sebelum ia dihantar ke Jabatan Forensik.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kredit sumber: Berita Harian
