Kuala Lumpur: Taktik pasangan suami isteri warga Vietnam mengaut keuntungan mudah sehingga mencecah RM12,000 bagi setiap individu dengan menawarkan perkhidmatan urusan imigresen secara haram akhirnya terbongkar selepas digempur pihak berkuasa di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pasangan berusia 34 tahun itu ditahan dalam operasi khas di sebuah kediaman sekitar Jalan Bemban, Ampang, dekat sini, pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, operasi jam 12.15 tengah malam itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat serta risikan selama sebulan.
“Siasatan awal mendapati pasangan itu bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen khususnya kepada warga Vietnam.
“Antara perkhidmatan ditawarkan ialah menguruskan lanjutan pas, Pas Khas serta tiket penerbangan pulang ke Vietnam bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Depot Imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, bayaran dikenakan mencecah sehingga RM12,000 bagi setiap individu bergantung kepada jenis urusan, manakala kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak tahun lalu.
“Dalam serbuan itu, kita menyita tujuh pasport Vietnam serta lima cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu.
“Turut disita sebuah telefon bimbit, satu set komputer meja, salinan perjanjian sewaan kediaman, beberapa borang pengesahan warganegara Vietnam dan borang permohonan pasport Vietnam,” katanya.
Selain itu, katanya sebuah Ford Kuga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, semakan awal mendapati lelaki berkenaan tinggal lebih masa, manakala isterinya memiliki Pas Pembantu Rumah Asing (PRA).
“Seorang kanak-kanak lelaki warga Vietnam berusia 10 bulan yang dipercayai anak pasangan itu turut ditemukan di kediaman berkenaan.
“Kanak-kanak itu didapati tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini,” katanya.
Zakaria berkata, suspek lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Isterinya pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala kes berkaitan kedudukan kanak-kanak itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Zakaria berkata, ketiga-tiganya dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan terhadap penemuan cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu serta dokumen dan peralatan lain yang disita bagi mengenal pasti modus operandi dan kemungkinan pembabitan individu lain.
Kredit sumber:Harian Metro
