KULIM: Empat kanak-kanak yang maut akibat lemas di Taman Desa Kayangan, di sini, dipercayai terjatuh ke longkang ketika cuba mengambil bola.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring ketika dihubungi sebentar tadi.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika semua mangsa bermain bola sepak… difahamkan bola mereka digunakan terjatuh ke dalam longkang.
“Semua mangsa cuba untuk mengambil bola terbabit sebelum terjatuh,” katanya.
Menurut Syamsul, anggaran kedalaman longkang berkenaan lebih kurang 10 kaki (lebih tiga meter) dan lebar longkang lebih kurang 6 kaki (1.82 meter).
“Semua mangsa akan dibawa dari Hospital Kulim ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat, ” katanya.
Terdahulu, dua kanak-kanak berusia 12 tahun ditemukan lemas, manakala dua rakan mereka berusia lapan dan 11 tahun dikejarkan ke hospital selepas terjatuh ke longkang di taman perumahan terbabit.
Bagaimanapun, mangsa ketiga dan keempat itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Kredit sumber: Sinar Harian
