MARUDI – Seorang lelaki maut selepas dipercayai tersepit di bawah jentolak dalam kejadian di Long Seridan, di sini, semalam.
Mangsa, Mancha Lingan, 40, disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Long Seridan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak menerima panggilan pada pukul 2.08 petang dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi tiba di lokasi pukul 9.49 malam, selepas menempuh perjalanan 261 kilometer (km).
Katanya, perjalanan mengambil masa panjang berikutan faktor geografi dan keadaan jalan balak yang licin serta berlubang.
“Pasukan turut menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan darat kira-kira empat kilometer untuk sampai ke lokasi. Setibanya di lokasi, anggota mendapati mangsa tersepit di bawah jentolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat termasuk Power Unit Rescue Tools dan dua beg udara untuk mengeluarkan mangsa.
Bagaimanapun, katanya, usaha awal menghadapi kesukaran berikutan kedudukan mangsa yang tersangkut di bawah jentolak.
“Komander operasi berbincang dengan pihak polis bantuan di lokasi dan operasi diteruskan dengan bantuan seorang mekanik daripada syarikat Shin Yang.
“Mekanik itu membuka dan memotong rantai roda jentolak menggunakan pemotong gas oksigen bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat,” katanya.
Mangsa dapat dikeluarkan, namun mengalami kecederaan parah pada perut dan kaki kanan. Lelaki itu dibawa ke Hospital Marudi menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Shin Yang.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE/Disiarkan pada 14 September 2026
