KOTA KINABALU: Kelab Rekreasi Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedCommKK) mencatat kemenangan keseluruhan dalam Perlawanan Persahabatan Pickleball ECoS- Media yang berlangsung di Borneo Pickleball, di sini, malam tadi.
Aksi membabitkan tujuh perlawanan itu menyaksikan persaingan sengit antara MedCommKK dan Energy Commission of Sabah (ECoS), melibatkan tiga acara beregu lelaki, dua beregu wanita serta dua beregu campuran.
MedCommKK tampil dengan permainan yang konsisten untuk mengungguli keputusan keseluruhan, selain mendapat tentangan hebat daripada pemain ECoS sepanjang perlawanan.
Pengerusi MedCommKK, Christopher Bernard Maskilone berkata, kejayaan tersebut hasil kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan semua pemain.
Menurutnya, aspek kemenangan bukan menjadi keutamaan kerana perlawanan berkenaan lebih bertujuan memperkukuh hubungan antara pengamal media dengan warga ECoS melalui aktiviti sukan.
“Bagaimanapun, kemenangan bukan matlamat utama kerana perlawanan ini lebih kepada mengeratkan hubungan antara pengamal media dan warga ECoS menerusi aktiviti sukan.
“Kami berterima kasih kepada ECoS atas inisiatif menganjurkan perlawanan persahabatan ini yang berlangsung meriah serta penuh semangat kesukanan,” katanya.
Beliau berkata, MedCommKK berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak agensi.
Katanya, penganjuran aktiviti berkenaan bukan sahaja mengeratkan jaringan kerjasama, malah dapat menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media.
Perlawanan itu turut dilihat sebagai platform untuk mempromosikan sukan pickleball yang kini semakin mendapat perhatian dan sambutan masyarakat di Sabah-DRP
