KOTA KINABALU: Rekod kira-kira 400 jangkitan baharu HIV setiap tahun di Sabah perlu diberi perhatian serius bukan sahaja dari aspek kesihatan awam, malah melibatkan aspek sosial, institusi keluarga, pendidikan dan pembentukan nilai masyarakat.
Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah bin Hj. Malik Aman, berkata angka berkenaan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai statistik kesihatan, sebaliknya perlu mendorong semua pihak menilai faktor yang menyumbang kepada risiko jangkitan HIV.
“Apabila kita bercakap mengenai kira-kira 400 jangkitan baharu HIV setiap tahun di Sabah, ini bukan angka yang boleh kita pandang ringan kerana ia melibatkan manusia, keluarga dan masa depan masyarakat kita.
“Kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh. HIV adalah isu kesihatan awam, namun pada masa sama persoalan sosial, tingkah laku berisiko, institusi kekeluargaan dan pendidikan juga perlu diberi perhatian,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, usaha menangani HIV tidak seharusnya hanya tertumpu kepada rawatan selepas seseorang dijangkiti, sebaliknya pencegahan perlu diperkukuhkan menerusi pendidikan, kesedaran dan pembentukan nilai sejak peringkat awal.
Katanya, golongan muda berdepan persekitaran yang semakin terbuka susulan perkembangan teknologi dan media sosial, yang memberikan akses kepada pelbagai bentuk kandungan dan pengaruh.
“Kita tidak boleh menyerahkan pendidikan anak-anak hanya kepada sekolah. Keluarga mesti menjadi benteng utama dalam membentuk pemikiran, nilai, maruah diri dan batas pergaulan anak-anak.
“Anak-anak hari ini mempunyai akses kepada dunia yang sangat luas melalui telefon di tangan mereka. Justeru, mereka perlu dibekalkan dengan ilmu, nilai moral dan kefahaman mengenai batas pergaulan,” katanya.
Dalam pada itu, Kefayatullah menegaskan perbincangan mengenai HIV perlu dilakukan secara matang dan bertanggungjawab tanpa menjadikan individu yang hidup dengan HIV sebagai sasaran stigma atau diskriminasi.
Katanya, usaha mencegah tingkah laku berisiko perlu berjalan seiring dengan pendekatan kemanusiaan terhadap mereka yang telah dijangkiti.
“Kita perlu membezakan antara mencegah tingkah laku berisiko dengan menghukum orang yang sudah dijangkiti. Mereka yang hidup dengan HIV tetap mempunyai keluarga, maruah dan hak untuk mendapatkan rawatan serta sokongan.
“Stigma tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, kita perlu memastikan mereka tampil mendapatkan ujian, rawatan dan sokongan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat juga tidak seharusnya menganggap peningkatan kes HIV sebagai perkara biasa hanya kerana ia merupakan sebahagian daripada statistik kesihatan.
“Kalau kita mula menganggap angka 400 kes baharu setahun sebagai sesuatu yang biasa, kita mungkin terlepas pandang persoalan yang lebih besar.
“Kita bukan sahaja perlu bertanya berapa ramai yang dijangkiti, tetapi juga mengapa perkara ini berlaku dan apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan usaha pencegahan memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan, agensi kesihatan, institusi pendidikan, institusi agama, pertubuhan masyarakat sivil dan keluarga.
“Kerajaan mempunyai peranan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pencegahan, manakala institusi pendidikan pula memainkan peranan dalam memberikan ilmu.
“Institusi agama dan NGO boleh membantu dari sudut pembentukan nilai serta kesedaran masyarakat, namun keluarga tetap merupakan institusi pertama yang membentuk seseorang,” katanya.
Kefayatullah turut menekankan keperluan memperluaskan usaha kesedaran dan pencegahan ke kawasan luar bandar serta pedalaman Sabah, mengambil kira cabaran geografi dan akses masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya, masyarakat perlu diberikan maklumat tepat mengenai HIV termasuk cara penularan, kepentingan ujian awal, rawatan dan langkah pencegahan.
“Kita perlu bercakap tentang perkara ini sebelum seseorang dijangkiti, bukan selepas mereka dijangkiti. Pencegahan mesti bermula dengan ilmu dan kesedaran.
“Saya melihat angka ini sebagai satu wake-up call untuk Sabah. Kita masih mempunyai ruang untuk bertindak, tetapi tidak boleh menunggu sehingga masalah ini menjadi lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, isu HIV akhirnya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan manusia dan sosial Sabah, bukan semata-mata isu perubatan.
“Kalau kita mahu Sabah yang maju, kita bukan hanya mahu membina ekonomi dan infrastruktur. Kita juga perlu membina manusia yang mempunyai nilai, tanggungjawab dan kemampuan menjaga diri serta keluarga.
“Angka kira-kira 400 kes baharu ini sepatutnya menjadi sebab untuk kita melihat keadaan masyarakat dan bertanya apa yang boleh kita lakukan bersama untuk mengurangkan risiko jangkitan pada masa akan datang,” katanya.
