Dari Meja Editor
31 Ogos 2026
Sudah 69 tahun negara merdeka, namun bagi sebahagian peniaga di kawasan University Utama Condominium (UUC), Telipok, mendapatkan bekalan air masih menjadi perjuangan yang belum berkesudahan.
Masalah bekalan air yang berlarutan bertahun-tahun bukan sahaja mengganggu operasi perniagaan, malah memaksa peniaga mencari pelbagai ikhtiar sendiri untuk memastikan kedai masing-masing terus dapat beroperasi.
Ada peniaga terpaksa membawa air dari rumah ke premis, manakala ada yang sanggup menyewa lori untuk mengangkut tong air bagi menampung keperluan harian perniagaan.
Ada juga yang terpaksa menutup premis perniagaan apabila berlaku gangguan bekalan air dan ini menyebabkan kerugian kepada peniaga.
Situasi itu menggambarkan betapa beratnya beban yang terpaksa ditanggung peniaga hanya untuk mendapatkan keperluan asas.
Air sepatutnya mengalir melalui paip ke premis perniagaan, bukannya peniaga terpaksa mengangkutnya menggunakan lori dan tong.
Lebih membebankan, tong air yang digunakan juga perlu dibeli dengan kos yang bukan sedikit, selain peniaga terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan untuk mendapatkan perkhidmatan lori serta kos pengangkutan.
Bagi peniaga kecil, setiap perbelanjaan tambahan memberi kesan terus kepada pendapatan dan keuntungan harian.
Mereka sudah berdepan pelbagai kos seperti sewa premis, elektrik, gaji pekerja, bahan mentah dan keperluan operasi. Apabila bekalan air pula tidak menentu, kos untuk mendapatkan air terpaksa dimasukkan ke dalam perbelanjaan perniagaan.
Dalam keadaan itu, timbul pula keluhan mengenai bil air yang melambung, sekali gus menambahkan persoalan dan keresahan dalam kalangan peniaga.
Jika peniaga terpaksa mencari dan mengangkut air sendiri ketika bekalan terganggu, pada masa sama mereka tentunya mahu mendapatkan penjelasan mengenai bil yang diterima serta jumlah penggunaan yang direkodkan.
Persoalan mengenai bil air bukan semata-mata soal jumlah bayaran, tetapi soal keyakinan pengguna bahawa caj yang dikenakan adalah jelas, munasabah dan berdasarkan penggunaan sebenar.
Apa yang turut perlu diberi perhatian ialah kesan masalah air terhadap kesihatan dan emosi peniaga.
Bayangkan sebelum memulakan perniagaan, mereka perlu terlebih dahulu memastikan bekalan air mencukupi. Selepas itu, tenaga pula perlu digunakan untuk mengangkat tong yang berat, memindahkan air dan menguruskan keperluan premis.
Jika perkara itu dilakukan berulang kali, ia boleh menjadi beban fizikal yang besar.
Peniaga sepatutnya menggunakan tenaga untuk menguruskan perniagaan dan melayan pelanggan, bukannya menghabiskan kudrat mengangkat tong air.
Keadaan tersebut juga boleh mencetuskan tekanan apabila gangguan berlaku berulang kali dan mereka tidak tahu sama ada bekalan akan kembali normal pada hari berikutnya.
Perniagaan memerlukan perancangan. Jika bekalan air tidak menentu, perancangan operasi juga boleh terganggu.
Bagi peniaga makanan dan minuman khususnya, air merupakan keperluan yang amat penting untuk menyediakan makanan, mencuci peralatan, membersihkan premis dan memastikan kemudahan tandas dapat digunakan.
Tanpa bekalan air yang mencukupi, operasi perniagaan boleh terjejas secara langsung.
Lebih menyedihkan, isu bekalan air di UUS Telipok ini bukan perkara baharu. Masalah berkaitan gangguan bekalan air ini telah berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun belum ada jalan penyelesaian hingga ke hari ini.
Justeru, persoalannya ialah sampai bila peniaga perlu terus menanggung kos dan beban ini?
Sampai bila tong air perlu menjadi sebahagian daripada kelengkapan wajib di premis perniagaan?
Sampai bila lori perlu disewa untuk mengangkut air?
Dan sampai bila peniaga perlu menggunakan kudrat sendiri untuk memastikan perniagaan mereka tidak terhenti?
Sudah 69 tahun negara merdeka. Peniaga tidak meminta sesuatu yang luar biasa.
Mereka hanya mahu bekalan air yang stabil supaya dapat menjalankan perniagaan, mencari rezeki dan menyara kehidupan tanpa perlu melalui rutin mengangkat air setiap kali bekalan terganggu.
Masalah ini tidak sepatutnya dilihat sekadar sebagai isu paip kering.
Di sebaliknya ada peniaga yang kehilangan masa, mengeluarkan kos tambahan, menggunakan tenaga fizikal dan menanggung tekanan demi memastikan pintu kedai terus dibuka.
Rakyat dan khususnya peniaga di UUS Telipok pastinya mengharapkan penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan, bukan sekadar bergantung kepada langkah sementara setiap kali berlaku gangguan.
Mereka mahu berniaga dengan tenang.
Mereka mahu kos operasi yang terkawal.
Mereka mahu tenaga digunakan untuk membangunkan perniagaan, bukan mengangkat tong air.
Dan paling penting, mereka mahu satu perkara asas yang sepatutnya tidak perlu diperjuangkan setiap hari, iaitu air mengalir ke premis mereka.
Kerana selepas 69 tahun Merdeka, peniaga tidak seharusnya masih tertanya-tanya, “Hari ini ada air atau tidak?”
