Oleh: Yusran -Pemerhati Politik
Ada pihak yang nampaknya masih ketagih mengulang angka “46 pertuduhan” terhadap Tun Musa Aman seolah-olah angka itu sendiri sudah cukup untuk menjatuhkan hukuman moral kepada beliau. Lebih ironinya, poster yang berlegar di media sosial cuba membina persepsi seolah-olah Tun Musa pernah disabitkan bersalah. Ini bukan soal mempertahankan sesiapa secara membuta tuli, tetapi soal menghormati fakta, rekod mahkamah dan prinsip keadilan. Kalau mahu bercakap tentang integriti, perkara pertama yang perlu ada ialah integriti terhadap fakta.
Faktanya sangat jelas. Pada 9 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Tun Musa daripada kesemua 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Pihak pendakwaan telah memaklumkan bahawa semua pertuduhan itu ditarik balik, sebelum mahkamah memberikan keputusan pelepasan dan pembebasan penuh. Jadi, janganlah angka “46” itu diulang berkali-kali sehingga masyarakat yang tidak mengikuti perkembangan kes menyangka 46 pertuduhan tersebut berakhir dengan 46 sabitan. Tidak ada sabitan. Itu fakta undang-undang yang tidak boleh dipadam hanya kerana ia tidak sesuai dengan naratif politik sesetengah pihak.
Lebih penting, alasan penarikan pertuduhan itu bukan direka oleh penyokong Tun Musa, tiada bukti kukuh yang dapat ditemui oleh pihak SPRM dan ICAC Hong Kong untuk meneruskan kes tersebut.
ICAC Hong Kong pula merupakan antara agensi penguatkuasaan yang paling tegas dan dipercayai di dunia.
Maka, kepada mereka yang gemar menggunakan isu ini sebagai peluru politik, satu soalan mudah perlu ditanya: kalau benar mahu bercakap tentang integriti, mengapa keputusan mahkamah tidak disebut secara lengkap? Mengapa hanya perkataan “46 pertuduhan” yang dibesarkan, tetapi perkataan “dilepas dan dibebaskan” disembunyikan? Itu bukan pendidikan politik kepada rakyat. Itu namanya memilih fakta yang menguntungkan naratif sendiri. Kritikan politik boleh, tetapi jangan sampai fakta undang-undang dipotong sesuka hati demi menghasilkan persepsi.
Tun Musa juga bukan tokoh yang muncul semalam hanya kerana dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. Beliau merupakan Ketua Menteri Sabah paling lama berkhidmat, memimpin negeri dari 2003 hingga 2018 selama lima penggal. Pada 1 Januari 2025, beliau pula mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 selepas menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan itu bukan dibuat oleh “media sosial”, bukan oleh poster Facebook dan bukan oleh cybertroI. Ia adalah pelantikan rasmi di bawah kerangka Perlembagaan Negeri Sabah.
Sudah tentu, Tun Musa seperti mana-mana pemimpin politik lain boleh dikritik. Rekod pemerintahannya juga boleh dianalisis, dipersoalkan dan dibandingkan. Tetapi kritikan yang matang tidak memerlukan fitnah, manipulasi atau hukuman politik selepas seseorang itu telah dibebaskan oleh mahkamah. Kalau ada bukti baharu berkaitan kesalahan baharu, bawalah kepada pihak berkuasa. Kalau tidak ada, berhentilah menjadikan sejarah pendakwaan yang telah berakhir sebagai seolah-olah ia sabitan yang masih hidup. Sabah tidak memerlukan politik yang hidup atas persepsi; Sabah memerlukan perbahasan yang berasaskan fakta.
Akhirnya, kepada pencipta naratif “integriti dan akauntabiliti” itu, Yusran ingin mengingatkan: akauntabiliti bukan bermaksud seseorang mesti terus dihukum oleh media sosial walaupun mahkamah telah membebaskannya. Integriti pula bukan bermaksud memilih separuh fakta yang sedap didengar. Kalau benar-benar mahu rakyat percaya kepada perjuangan integriti, tunjukkan keberanian untuk menyatakan keseluruhan fakta 46 pertuduhan memang pernah dikenakan, tetapi kesemuanya ditarik balik oleh pendakwaan dan Tun Musa kemudiannya dilepas serta dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi. Selebihnya, jangan serahkan kepada propaganda untuk menulis semula apa yang telah direkodkan oleh mahkamah.
