NARATHIWAT: Dua anggota sukarelawan pertahanan Thailand maut, manakala 16 lagi cedera dalam kejadian letupan bom dan berbalas tembakan di Sukhirin, Narathiwat, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang waktu tempatan, sebuah trak yang membawa 18 anggota sukarelawan pertahanan sedang dalam perjalanan pulang selepas menjalani latihan mendayung perahu di bandar Narathiwat.
Ketua Polis Sukhirin, Kolonel Polis Prapoj Lormkhet berkata, siasatan awal mendapati bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan diaktifkan ketika trak berkenaan melalui tempat kejadian.
“Insiden berbalas tembakan turut berlaku,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian dan menjalankan pemeriksaan bagi mengumpul bukti.
Katanya, semua individu yang cedera turut dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Prapoj berkata, pasukan keselamatan mempertingkat kawalan keselamatan di tempat kejadian dan kawasan sekitar susulan perkembangan semasa.
Kredit sumber: BERNAMA/Buletin TV3
