TAWAU, 18 September 2026 – Seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun ditahan selepas polis menemukan sepucuk pistol semi-automatik jenis Colt .45 bersama tiga butir peluru dan dadah disyaki syabu seberat 901.35 gram dalam satu serbuan di sebuah penginapan di Jalan Dunlop, Tawau.
Menurut maklumat yang dikongsikan menerusi hantaran Facebook rasmi Polis Daerah Tawau, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Tawau.
Pemeriksaan awal di sebuah bilik penginapan membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Colt .45, satu kelopak peluru serta tiga butir peluru.
Kesemua barangan berkenaan ditemui di dalam plastik hitam yang disimpan dan disembunyikan di dalam bilik tersebut.
Suspek kemudiannya membawa pasukan polis ke sebuah Proton Wira yang diletakkan di kawasan penginapan berkenaan.
Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sebuah beg silang berwarna hitam di bawah tempat duduk pemandu.
Di dalam beg tersebut, polis menemukan satu paket plastik berisi bahan hablur jernih yang disyaki syabu dengan anggaran berat 901.35 gram.
Siasatan awal mendapati suspek mengakui dadah terbabit adalah miliknya.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek turut memberikan keputusan positif bagi Amphetamine dan Methamphetamine.
Dalam siasatan berkaitan pistol berkenaan, suspek mendakwa senjata api itu diperoleh daripada seorang lelaki dari daerah lain dan dipercayai bertujuan untuk dijual kepada pihak lain di negara jiran.
Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tindakan turut diambil mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Suspek telah diperintahkan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut.
Polis Tawau turut menyeru orang ramai supaya menjauhi kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan tidak terlibat dalam pemilikan senjata api secara haram.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam keselamatan awam diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – DAKWAT RAKYAT POST
