Putrajaya: Pantai yang panjang, pulau kecil, muara sungai, kawasan bakau serta kedudukan berhampiran laluan maritim antarabangsa yang sering dieksploitasi sindiket penyeludupan menjadikan beberapa kawasan di Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah sebagai lokasi tumpuan pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, lokasi itu dikenal pasti berdasarkan trend tangkapan, faktor geografi, kedudukan strategik serta penilaian risiko terhadap laluan penyeludupan maritim.
“Di Sabah, ancaman pendaratan PATI adalah lebih ketara berikutan kedudukannya hampir dengan sempadan antarabangsa.
“Antara kawasan yang sering dikaitkan dengan risiko kemasukan PATI ialah perairan Kudat, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan kawasan pulau-pulau di pantai timur Sabah seperti Pulau Bum-Bum, Pulau Sebatik, Pulau Omadal serta beberapa pulau kecil lain yang berhampiran sempadan maritim.
“Kawasan ini sering dieksploitasi oleh sindiket kerana mempunyai banyak laluan laut terbuka, perkampungan air serta lokasi pendaratan yang sukar dipantau secara berterusan,” katanya dalam temubual bersama Harian Metro, baru-baru ini.
Mohd Rosli berkata, di Selangor, antara kawasan dikenal pasti berisiko tinggi ialah perairan Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan, Kuala Selangor, Klang, Pulau Indah, Pulau Ketam, Pulau Carey dan kawasan sekitar Pelabuhan Klang.
“Kedudukan Selangor yang menghadap Sumatera dan dipisahkan oleh Selat Melaka menjadikannya antara laluan utama penyeludupan migran dari negara jiran.
“Kawasan pesisir pantai yang luas, kewujudan banyak jeti nelayan serta kepadatan trafik maritim membolehkan sindiket menyembunyikan pergerakan mereka dalam kalangan bot tempatan dan aktiviti perikanan,” katanya.
Beliau berkata, di Perak, kawasan yang sering diberikan perhatian dalam pemantauan keselamatan maritim ialah Pulau Pangkor, perairan sekitar Bagan Datuk, Kuala Sepetang, Pantai Remis, Sungai Burong dan beberapa kawasan pesisir di daerah Manjung.
“Kedudukan Pulau Pangkor yang mempunyai banyak kawasan pendaratan kecil, jeti persendirian serta laluan laut yang sibuk menjadikannya berisiko dieksploitasi sebagai lokasi transit atau pendaratan PATI.
“Selain itu, kawasan muara sungai dan hutan bakau di sepanjang pesisir Perak turut berpotensi digunakan bagi menyembunyikan pergerakan bot penyeludup sebelum PATI dipindahkan ke destinasi seterusnya,” katanya.
Menurutnya, secara keseluruhannya lokasi pendaratan PATI di perairan maritim Malaysia tertumpu di kawasan yang mempunyai ciri geografi sesuai untuk aktiviti penyeludupan.
“Bagaimanapun lokasi ‘hotspot’ ini sentiasa berubah mengikut tahap penguatkuasaan dan tindakan pihak berkuasa.
“Oleh itu, APMM terus mempertingkatkan rondaan laut dan udara, operasi khas, pengumpulan risikan serta penggunaan sistem pengawasan maritim bagi memastikan sebarang cubaan kemasukan PATI dapat dikesan dan dibanteras dengan berkesan demi menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
