KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Najib turut diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani tahanan di rumah.
“Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu.
Keputusan itu menyusul selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.
Dalam mesyuarat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya.
Sebelum ini, Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Kredit sumber: Astro AWANI
