PETALING JAYA: Isu pengambilan tanah, logistik, bentuk muka bumi dan koordinasi antara agensi menjadi punca projek pembangunan di Sabah dan Sarawak bergerak lebih perlahan, kata dua ahli ekonomi.
Mereka berkata, kadar perbelanjaan pembangunan yang rendah tidak semestinya menunjukkan kerajaan persekutuan gagal menyediakan dana atau kurang komited terhadap pembangunan kedua-dua negeri.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Abdul Rashid, berkata peruntukan tidak sama dengan pelaksanaan kerana projek perlu melalui beberapa proses sebelum dana dapat diterjemahkan kepada pembangunan fizikal.
“Peruntukan tidak sama dengan pelaksanaan. Wang mungkin telah diperuntukkan, tetapi sebelum ia dapat diterjemahkan kepada jalan, jambatan, sekolah atau bekalan air, terdapat beberapa lapisan proses yang perlu diselesaikan.
“Justeru, isunya ialah halangan dalam pelaksanaan, yang melibatkan perkara bersifat praktikal dan bukan semata-mata jumlah peruntukan,” katanya kepada FMT.
Pada November 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata Sabah dan Sarawak masing-masing merekodkan 1,244 dan 1,124 projek pembangunan persekutuan, tertinggi di negara ini.
Namun, kadar perbelanjaan ketika itu masing-masing hanya 46.7% dan 54.43%.
Prestasi Sabah meningkat pada 2025 apabila Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan RM5.9 bilion atau 89% daripada peruntukan asal RM6.7 bilion bagi projek pembangunan negeri itu telah dibelanjakan.
MoF sebelum ini menjelaskan perbelanjaan projek pembangunan diuruskan agensi pelaksana mengikut kemajuan kerja dan status pelaksanaan.
Afzanizam berkata, keluasan Sabah dan Sarawak, penempatan berselerak, bentuk muka bumi mencabar serta lokasi projek yang jauh daripada pusat ekonomi turut meningkatkan kerumitan pelaksanaan.
Katanya, isu logistik dan pengambilan tanah juga boleh melambatkan projek.
“Sebagai contoh, dalam projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2, kerja tanah dan pembersihan tapak sudah dimulakan pada Januari 2025, namun urusan pengambilan tanah bagi sebahagian jajaran masih berjalan.
“Jika satu mata rantai seperti tanah, kelulusan, kontraktor atau logistik tersangkut, keseluruhan jadual projek boleh terjejas,” katanya.
Sementara itu, Tan Peck Leong dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata peruntukan dalam belanjawan tidak bermakna keseluruhan dana dibayar sekali gus pada awal tahun.
Sebaliknya, katanya, bayaran dibuat secara berperingkat berdasarkan kerja yang siap dan disahkan.
“Sebagai contoh, jika kontraktor baru menyiapkan separuh kerja, kerajaan tidak sepatutnya membayar keseluruhan nilai projek semata-mata untuk menunjukkan kadar perbelanjaan yang tinggi.
“Yang lebih penting ialah memastikan projek disiapkan mengikut jadual, mempunyai kualiti yang baik dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.
Kredit sumber: Free Malaysia Today/Disiarkan pada 17 September 2026
