KUCHING: Polis Sarawak menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki bersama pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM17.2 juta dalam dua operasi berasingan di Kuching dan Limbang, baru-baru ini.
Dalam operasi pertama pada 11 September lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Kuching dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, menerusi serbuan itu, polis merampas 107.518 kilogram dadah terdiri daripada serbuk MDMA, ketamin, cecair MDMA dan pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM12.89 juta.
“Sementara itu, operasi kedua pada 14 September di Jalan Mendamit, Limbang menyaksikan penahanan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun.
“Polis merampas 84.07 kilogram dadah bernilai RM4.3 juta, merangkumi 81.21 kilogram syabu, 2.06 kilogram ketamin dan 0.80 kilogram serbuk MDMA,” katanya pada sidang media di sini.
Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati keseluruhan bekalan dadah itu dipercayai boleh merosakkan lebih 480,000 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati semua dadah terbabit dibawa masuk untuk edaran di pasaran tempatan dan Sarawak bukan dijadikan lokasi transit.
Mengulas modus operandi, beliau berkata sindiket kedua yang aktif sejak November tahun lalu dipercayai menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk membawa bekalan dadah dari Miri ke Sabah melalui jalan darat, manakala sindiket pertama dipercayai mula aktif sejak Julai lalu.
Kedua-dua suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Kredit sumber: Buletin TV3
