KALABAKAN: UMNO Bahagian Kalabakan mengajak seluruh ahli, penyokong dan akar umbi di kawasan Parlimen Kalabakan untuk bersama-sama menzahirkan solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sumbangan kepada Tabung Solidariti Datuk Seri Najib.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, sumbangan berkenaan boleh dibuat berdasarkan kemampuan setiap individu sebagai lambang penghargaan serta semangat setiakawan dalam keluarga UMNO.
Menurut beliau, pihaknya menghormati keputusan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terhadap Najib pada 18 September lalu.
Katanya, keputusan tersebut adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menghormati keputusan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi saya dan keluarga besar UMNO Kalabakan, Datuk Seri Najib bukan sekadar seorang bekas Perdana Menteri, malah pemimpin yang meninggalkan banyak jasa kepada Sabah, khususnya dalam pembangunan infrastruktur, luar bandar dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Samasuddin berkata, sumbangan serta jasa pemimpin yang pernah berkhidmat kepada Sabah dan negara sentiasa dihargai oleh masyarakat di Kalabakan.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli UMNO, penyokong dan akar umbi di Parlimen Kalabakan supaya mengambil bahagian dalam usaha mengumpul sumbangan menerusi Tabung Solidariti Datuk Seri Najib.
Menurutnya, nilai sumbangan bukan menjadi keutamaan, sebaliknya keikhlasan setiap penyumbang serta semangat kebersamaan dalam kalangan anggota parti lebih penting.
“Tidak kira besar atau kecil sumbangan, yang lebih penting ialah keikhlasan dan semangat setiakawan kita sebagai sebuah keluarga UMNO.
“Kita kenang jasa, kita zahirkan solidariti dan kita terus bersatu,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
