SANDAKAN: Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan memperjuangkan kerusi Parlimen Penampang dan Tuaran dalam rundingan pembahagian kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu akan menyatakan hasrat berkenaan apabila rundingan pembahagian kerusi bersama parti-parti komponen GRS diadakan.
Beliau berkata, UPKO ketika ini tidak mahu mendahului proses rundingan berkenaan, termasuk mendedahkan sama ada parti itu mempunyai hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen lain.
“Tapi saya menghormati perbincangan. Yang pasti UPKO akan mempertahankan dua kerusi yang kita menangi sekarang, iaitu kerusi Penampang dan Tuaran, dan akan menyatakan hasrat dan cadangan kepada Majlis Tertinggi GRS bila tiba masanya nanti.”
Ewon berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Pesta Tanglung anjuran UPKO Libaran di Sandakan, malam tadi.
UPKO diterima sebagai parti komponen GRS pada Jun lalu selepas mendapat keputusan sebulat suara daripada Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.
Sebelum itu, UPKO merupakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum keluar daripada gabungan berkenaan pada November tahun lalu.
Ketika ini, UPKO mempunyai dua kerusi Parlimen, iaitu Penampang dan Tuaran. – DAKWAT RAKYAT POST
