KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen disandang, selain mengintai beberapa kerusi lain yang berpotensi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata tiga kerusi terbabit membabitkan Parlimen Sepanggar yang disandangnya, selain dua kerusi dikuasai DAP iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan.
Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam perundingan kerusi dengan gabungan atau parti lain yang bekerjasama dengan mereka pada pilihan raya itu nanti.
“Selain itu, kita juga melihat potensi untuk bertanding di kerusi lain tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan lain,” katanya selepas Mesyuarat PH Sabah, hari ini.
Mustapha bagaimanapun enggan menamakan atau menjelaskan berapa kerusi berpotensi lain yang diintai PH Sabah.
Selain itu, beliau menjelaskan rundingan kerjasama dengan rakan politik lain khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRU16 belum rasmi.
Mengenai cadangan Barisan Nasional (BN) Sabah mewujudkan Muafakat Sabah dengan GRS, Mustapha berkata perkara itu pandangan mereka yang bebas untuk disuarakan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, PH Sabah bertanding di 24 kerusi, dengan PKR paling banyak iaitu 10 kerusi, diikuti DAP tujuh kerusi, namun hanya memenangi tiga kerusi iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
Selain itu, dua lagi kerusi turut dimenangi atas tiket PH iaitu Penampang dan Tuaran, namun kerusi berkenaan diwakili Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang kini tidak lagi bersama PH.
Kredit sumber: Berita Harian
