KOTA BHARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyusun kira-kira 1,000 program dakwah di seluruh negara sepanjang tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember tahun ini.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, Program Dakwah Negara itu tidak hanya tertumpu di Putrajaya, sebaliknya dilaksanakan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Ada kira-kira 1,000 program yang disusun dan acara utama ialah Majlis Sama’ Hadis Sahih At-Tirmizi yang menghimpunkan ulama dalam dan luar negara serta penuntut pondok di Putrajaya selama hampir seminggu pada November ini.
“Program itu juga akan menghimpunkan hampir 1,000 sukarelawan Yadim yang berperanan memberikan pendidikan di surau dan masjid selain melaksanakan aktiviti dakwah dalam komuniti,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Dakwah Negara 2026 Peringkat Kelantan dan Pejabat Yadim Negeri Kelantan di sini pada Khamis.
Hasan berkata, komuniti Orang Asli turut menjadi antara kumpulan sasaran menerusi pelbagai program yang dilaksanakan Yadim.
Menurut beliau, pendekatan dakwah berkenaan turut melibatkan penyertaan Da’i Komuniti daripada kalangan masyarakat Orang Asli sendiri bagi memastikan mesej yang disampaikan mengambil kira budaya dan identiti mereka.
Dalam usaha memperkukuh kualiti pendakwah muda, Yadim turut melaksanakan Program Da’i Muda Yadim yang melatih kira-kira 30 lepasan universiti setiap tahun menerusi proses temu duga dan saringan.
Katanya, peserta yang berusia sehingga 30 tahun itu menjalani latihan selama tiga bulan dan sehingga kini program berkenaan telah melahirkan kira-kira 400 da’i muda.
“Kami mahu melahirkan da’i yang profesional dan berpengetahuan dalam bidang agama, selain berkebolehan memanfaatkan media baharu seperti TikTok,” katanya.
Beliau berkata, penguasaan teknologi amat penting kerana masyarakat masa kini semakin cenderung kepada kandungan digital, sekali gus menuntut pendakwah memahami trend semasa dan menyampaikan mesej yang lebih berkesan.
Dalam pada itu, Yadim turut melaksanakan Program Layar Dakwah yang membabitkan kira-kira 50 pelajar menerusi latihan penulisan skrip, pengarahan dan penerbitan pada setiap hujung minggu selama tiga bulan.
“Program yang bermula pada 1 September lalu itu akan menghasilkan lapan filem pendek berdurasi kira-kira 30 minit setiap satu menerusi lapan kumpulan yang dibentuk selepas tamat latihan.
“Filem bertemakan Membina Adab, Membangun Negara itu akan ditayangkan pada kemuncak Program Dakwah Negara selain disasarkan untuk menyertai pertandingan filem pendek di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Hasan berkata, secara keseluruhan pelaksanaan program Yadim bagi tahun ini telah mencapai hampir 80 peratus dan beliau yakin sasaran 100 peratus dapat dicapai menjelang Disember.
Kredit sumber: Sinar Harian
