SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah bot tunda yang membawa kira-kira 10,000 liter minyak diesel dipercayai tanpa dokumen sah di perairan Sandakan, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan dikesan pasukan operasi ketika sedang bergerak di perairan terbabit sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda berkenaan membawa kira-kira 10,000 liter minyak diesel yang dipercayai tidak mempunyai dokumen atau kebenaran sah.
“Pemeriksaan turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 39 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kesemua minyak diesel bersama bot tunda terbabit yang dianggarkan bernilai RM552,000 ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barangan kawalan berjadual, iaitu minyak diesel tanpa kebenaran.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana gagal mengemukakan insurans perlindungan dan indemniti (P&I Insurance), selain jumlah kru yang tidak mencukupi seperti ditetapkan dalam lesen,” katanya.
Muhamad Suhairy berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan, khususnya minyak diesel bersubsidi.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan bekalan barangan kawalan dapat disalurkan kepada golongan yang sepatutnya serta kepentingan masyarakat terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.
