PENAMPANG: Seorang wanita berusia 30-an meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di belakang sebuah bangunan di Donggongon, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.36 tengah hari.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital kira-kira jam 1.05 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bedah siasat akan dijalankan bagi membantu menentukan punca sebenar kematian.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar dan video berkaitan kejadian sebagai menghormati privasi keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-449 2215.
