SA KAEO: Kejadian banjir di wilayah Sa Kaeo menyaksikan penduduk terpaksa memanjat pokok apabila empat buaya yang masing-masing berukuran kira-kira dua meter panjang, terlepas dari sebuah ladang ketika kawasan berkenaan ditenggelami air bah.
Beberapa laluan utama di situ turut tidak dapat dilalui akibat banjir.
Buaya berkenaan dilihat di Moo 6, daerah kecil Khao Chakan, daerah Khao Chakan, berhampiran Golden Place dan Nawa Farm.
Penduduk yang terserempak dengan haiwan berkenaan dikatakan memanjat pokok bagi menyelamatkan diri, manakala pasukan penyelamat kini menyelaras operasi mencari penduduk yang terperangkap serta menjejak reptilia itu.
Pihak berkuasa menasihati penduduk berhampiran supaya tidak memasuki kawasan berair, menghampiri buaya, ataupun cuba menangkap dan menghalau haiwan itu tanpa bantuan.
Penduduk turut diminta menunggu pengesahan pihak berkuasa mengenai keselamatan kawasan berkenaan.
Jabatan Lebuh Raya Sa Kaeo (Watthana Nakhon) memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya mengelak beberapa laluan yang masih dinaiki air dan tidak selamat untuk dilalui kenderaan.
Antaranya ialah Lebuh Raya 33, laluan Phra Prong ke Non Chik; Lebuh Raya 359, laluan Sa Khwan ke Khao Maka; dan Lebuh Raya 3462, laluan Sa Kaeo ke Sae O.
Pemandu dinasihatkan mengelak laluan yang dinaiki air, tidak memandu meredah air banjir dan sentiasa mengikuti pengumuman rasmi ketika pihak berkuasa memantau keadaan banjir serta risiko haiwan lain terlepas dari ladang di kawasan berkenaan.
Kredit sumber: Agensi/Berita Harian
