KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menerima kunjungan hormat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat JTK Sabah diketuai Pengarah baharunya, Mohd Nizar Zakaria, yang memperkenalkan diri kepada Ketua Menteri selain memaklumkan perkembangan semasa serta aktiviti jabatan berkenaan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah isu berkaitan tenaga kerja dan perburuhan di Sabah.
Mohd Nizar turut diiringi Ketua Penolong Pengarah Kanan, Nor Zulhilmie Mohd Salleh; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Standard Perburuhan, Augustine Wong Ming Kong; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inspektorat dan Perundangan, Morian Paidal; Ketua Penolong Pengarah (KUP) Bahagian Standard Perburuhan, Asriyah Abdul Hafid; serta Penolong Pengarah Tenaga Kerja Bahagian Pekerja Bukan Pemastautin, Leticia Ranchye Joseph.
Dalam kunjungan berasingan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat KKCCCI yang diketuai Presidennya, Datuk Michael Lui Yen Sang.
Rombongan itu turut disertai Setiausaha Agung Kehormat Dewan Perniagaan dan Perdagangan Cina Bersatu Sabah (SUCCC), Datuk Yong Hen Vui @ Paul; Naib Presiden KKCCCI, Andy Lim Chen Kwong; Setiausaha Agung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Yee That Hian; Ahli Jawatankuasa Kecil, Elvin Chang Cheun Yong; serta Setiausaha Eksekutif, Yohanes Imo Chong.
Dalam pertemuan itu, kepimpinan KKCCCI memaklumkan mengenai penganjuran The Economic Outlook Forum 2027 yang dijadual berlangsung pada 15 Januari 2027.
KKCCCI turut menyampaikan jemputan kepada Hajiji untuk hadir sebagai tetamu kehormat pada forum berkenaan.
