Raub: Seorang lelaki berusia 80 tahun maut selepas rumahnya di Kampung Kuala Dong di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Pesara tentera, Abdul Hamid Jaafar, dipercayai terperangkap di ruang tamu ketika kebakaran berlaku kira-kira jam 9.55 malam sebelum mayatnya ditemukan anggota bomba.
Isterinya yang berusia 76 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub tiba di lokasi pada jam 10.20 malam.
“Api berjaya dikawal kira-kira jam 10.40 malam. Selepas api dipadamkan, anggota bomba yang melakukan pemeriksaan di dalam premis menemukan mayat mangsa di ruang tamu.
“Kira-kira 80 peratus rumah terbabit mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hamid dipercayai mengalami kecederaan melecur parah akibat bahang api yang kuat.
Razam berkata, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Sungai Koyan dan Lipis dikerahkan untuk memadam kebakaran itu.
Operasi tamat jam 2.13 pagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Fadzli Mohamad Kamal, menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau ke kampung berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian malam tadi.
“Saya berdukacita apabila dimaklumkan Abdul Hamid ditemukan meninggal dunia di dalam rumah yang terbakar.
“Takziah kepada keluarga dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya.
Sumber- Harian Metro
