LAHAD DATU: Ibu bapa, pemimpin dan masyarakat perlu memainkan peranan bersama dalam menyemarakkan syiar Islam serta memastikan penghayatan agama terus menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, peranan itu penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan agama, malah memahami dan mengamalkan nilai murni serta akhlak yang diajar Rasulullah SAW.
Katanya, ibu bapa sebagai guru pertama dan contoh terdekat kepada anak-anak perlu membimbing mereka serta menggalakkan penyertaan dalam program keagamaan yang dapat meningkatkan kefahaman dan kecintaan terhadap Islam.
“Pendedahan kepada program seperti sambutan Maulidur Rasul sejak usia muda memberi ruang kepada anak-anak mengenali perjuangan, sifat dan keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dalam kehidupan.
“Ia selaras dengan tema sambutan Maulidur Rasul, MADANI Dihayati, Ummah Diberkati, yang mengajak umat Islam meneladani akhlak, sirah dan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, selain memperkukuh perpaduan dan kerjasama masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kecil Tungku, Ahad.
Menurut Abdul Hakim, pemimpin masyarakat turut mempunyai peranan penting dalam menyediakan ruang serta menggalakkan pelaksanaan program yang dapat menghimpunkan masyarakat menerusi aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Katanya, kerjasama antara pemimpin, ibu bapa, institusi agama dan masyarakat diperlukan bagi memastikan usaha memperkukuh penghayatan Islam dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berkata, penglibatan aktif masyarakat dalam program keagamaan bukan sahaja meningkatkan penghayatan agama, malah dapat mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Program keagamaan boleh menjadi platform untuk generasi muda mempelajari nilai seperti hormat-menghormati, kasih sayang, amanah, kesabaran, tolong-menolong dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, sambutan Maulidur Rasul menjadi wadah penting untuk memperingati Nabi Muhammad SAW serta menghayati perjuangan dan akhlak baginda dalam menyebarkan Islam.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya menjadikan sambutan Maulidur Rasul sekadar acara tahunan, sebaliknya mengambil peluang untuk menerapkan sifat dan akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
“Penghayatan terhadap keperibadian Rasulullah SAW boleh dimulakan melalui perkara asas seperti menjaga hubungan kekeluargaan, menghormati jiran, membantu mereka yang memerlukan serta mengamalkan sikap saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh penghayatan agama perlu bermula daripada keluarga sebelum diperluaskan kepada masyarakat supaya nilai yang diterapkan dapat berkembang secara berterusan.
Katanya, ibu bapa dan pemimpin masyarakat juga perlu menjadi contoh kepada golongan muda dengan menunjukkan amalan serta akhlak yang baik dalam kehidupan seharian.
Abdul Hakim berkata, pendekatan itu dapat membantu menjadikan agama bukan sekadar sesuatu yang dipelajari, tetapi turut diterjemahkan melalui amalan dan hubungan dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan program keagamaan terus mendapat sambutan serta menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul, menimba ilmu dan saling mengingatkan mengenai tanggungjawab sebagai umat Islam.
