PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki tempatan yang disyaki mengedar dadah terbongkar selepas ditahan polis bersama lebih 52 gram syabu dalam serbuan di sebuah hotel di Putatan, malam tadi.
Suspek berusia 41 tahun ditahan kira-kira jam 10.30 malam menerusi Op Gempur Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 52.09 gram.
“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,000. Polis turut menyita beberapa barangan serta wang tunai bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
“Semakan lanjut turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Sammy berkata, polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah supaya menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kredit sumber: Info X
