SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki mengemukakan dua dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi tuntutan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM15,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan dokumen berkenaan bagi tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan sempena lawatan kerja pegawai kanan sebuah kementerian.
Kesalahan itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2023 dan 2024.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Rasuah Sandakan pada 8 Oktober 2026.
