TAWAU: Masalah kipas dan lampu tidak berfungsi, gangguan lif, tandas dibuka lewat serta isu tikus dan nyamuk antara aduan yang dibangkitkan penjaja dan pengunjung di Pasar Tanjung Tawau.
Keadaan itu didakwa menjejaskan keselesaan penjaja yang menghabiskan masa seharian berniaga selain pengunjung yang datang mendapatkan barangan serta menikmati makanan di pasar berkenaan.
Penjaja, Buhati Weli, 70, berkata masalah kipas yang tidak berfungsi di kawasan pasar itu sudah berlarutan lebih setahun menyebabkan keadaan menjadi panas terutama ketika jumlah pengunjung meningkat.
“Panas sebab kipas tidak boleh hidup. Sudah lama kipas tidak boleh hidup, jadi kami pasrah saja.
“Kadang-kadang juga gelap kerana bukan semua lampu hidup. Kami sabar saja,” katanya ketika ditemui di Pasar Tanjung Tawau, hari ini.
Menurutnya, aduan mengenai masalah berkenaan sudah beberapa kali disampaikan kepada pihak berkaitan, namun masih belum diselesaikan sepenuhnya.
“Selalu juga diberitahu tetapi macam susah hendak dibuat. Sudah lebih setahun kipas itu tidak hidup,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penjaja, Alamsyah Rajane berkata, masalah kebersihan khususnya gangguan tikus dan nyamuk turut perlu diberikan perhatian serius.
Katanya, usaha Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menangani masalah berkenaan ada dilakukan, namun masih belum memberikan hasil yang memuaskan.
“Kalau mahu ikut masalah memang banyak, terutamanya tikus dan nyamuk. Setakat ini ada juga usaha daripada MPT tetapi masih belum berkesan untuk menghapuskan masalah itu.
“Kalau boleh pihak MPT lebih tegas mengambil tindakan terhadap semua aduan yang kami utarakan,” katanya.
Alamsyah berkata, terdapat juga beberapa lampu yang tidak berfungsi selain kipas yang memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselesaan peniaga dan pembeli.
“Kalau keadaan kotor dan tidak selesa, orang pun mungkin kurang selesa untuk datang,” katanya.
Beliau turut meminta supaya waktu operasi tandas dipantau dan ditetapkan dengan lebih jelas kerana peniaga biasanya sudah berada di pasar seawal selepas solat Subuh.
Katanya, terdapat keadaan tandas dibuka lewat sehingga menyukarkan peniaga dan pengunjung yang datang awal untuk menggunakannya.
Dalam pada itu, peniaga warung makan, Mariati Mangge berkata, sistem penghisap asap di kawasan memasak juga perlu dibuka lebih awal bagi mengurangkan bahang ketika mereka mula berniaga.
Menurutnya, sebahagian peniaga sudah berada di pasar seawal jam 5.30 atau 6 pagi, namun sistem penghisap asap hanya dibuka lebih lewat.
“Kami tidak banyak, cuma penghisap asap ini. Kalau pagi kami minta dibuka awal sebab kami sudah mula menjual jam 5.30 pagi, jam 6 pagi sudah ada di sini.
“Kalau boleh buka awal sebab sekarang ini tukang masak memang panas,” katanya.
Mariati berkata, masalah berkenaan sudah pernah dimaklumkan kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini masih belum mendapat penyelesaian yang diharapkan.
Katanya, sistem penghisap asap itu difahamkan pernah diganti baharu, namun masalah berkenaan masih berlarutan kira-kira setahun.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden MPT, Tony Koh Kian Leong yang turun padang meninjau keadaan Pasar Tanjung berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memberi perhatian terhadap aduan penjaja dan orang awam secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan termasuk sistem saliran atau takungan air yang tersumbat, tandas dibuka lewat serta kemudahan lif yang didakwa mengalami kerosakan.
“Penjaja sudah membuat aduan, jadi saya mohon MPT menasihatkan kontraktor supaya datang secara berkala dan tidak menunggu terlalu lama sebelum mengambil tindakan.
“Saya berharap Presiden MPT dapat turun padang sekali lagi untuk melihat sendiri keadaan sebenar, termasuk prestasi kontraktor dan penyelia pasar,” katanya.
Tony berkata, waktu pembukaan tandas juga wajar dipertimbangkan kerana terdapat orang awam yang sudah berada di pasar seawal jam 6 pagi.
“Kalau orang awam datang awal, pukul 6 sudah sampai tetapi mahu menggunakan tandas, sedangkan tandas hanya dibuka jam 7 pagi.
“Harap pihak MPT boleh pertimbangkan supaya tandas dibuka lebih awal kerana ramai orang datang ke pasar dan makan pada waktu pagi,” katanya.
Beliau turut berharap MPT meningkatkan penyelarasan antara pihak pengurusan, kontraktor dan penyelia pasar supaya aduan penjaja serta orang awam dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Menurut Tony, Pasar Tanjung bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk tempatan, malah turut dikunjungi pelancong dalam dan luar negara untuk mendapatkan barangan cenderamata serta menikmati makanan.
Katanya, keadaan kemudahan dan kebersihan pasar perlu diberi perhatian kerana ia turut mencerminkan imej Tawau sebagai destinasi yang dikunjungi pelancong.
“Pasar Tanjung ini juga menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara untuk membeli barang-barang cenderamata dan makan.
“Kalau keadaan pasar gelap dan berbau busuk, macam mana kita mahu tarik lebih ramai pelancong datang?” katanya.
Tony turut meminta pihak kejuruteraan MPT turun padang menilai keadaan kemudahan di Pasar Tanjung, termasuk lif dan tandas.
Katanya, kemudahan yang rosak dalam tempoh lama bukan sahaja menyusahkan penjaja, malah memberi kesan kepada orang awam yang berkunjung ke pasar berkenaan.
Beliau berharap semua aduan itu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan Pasar Tanjung Tawau kekal selesa, bersih dan menjadi lokasi tumpuan masyarakat serta pelancong.
