KOTA KINABALU: Tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 dijangka membantu memperkukuh tenaga kerja kesihatan awam, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses rawatan kepada rakyat, khususnya di pedalaman Sabah.
Pengerusi Biro Kesihatan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Dr Davina Datuk Markus, berkata keputusan menawarkan jawatan tetap kepada lebih 4,000 doktor kontrak tahun ini dan lebih 9,000 lagi pada tahun hadapan memberi kelegaan kepada petugas kesihatan yang sekian lama menantikan kepastian kerjaya.
Menurutnya, mulai tahun depan, doktor yang menamatkan latihan siswazah juga akan terus ditawarkan jawatan tetap sebagai Pegawai Perubatan.
Beliau berkata, kepastian itu penting bagi membolehkan doktor muda merancang masa depan selepas melalui tempoh pengajian dan latihan yang panjang sebelum berkhidmat dalam sistem kesihatan awam.
“Selepas bertahun-tahun belajar, menjalani latihan siswazah dan berkhidmat, mereka wajar mendapat kepastian kerjaya untuk merancang masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Davina berkata, usaha mengekalkan lebih ramai doktor dalam perkhidmatan awam berpotensi membantu meningkatkan kapasiti tenaga kerja, mempercepatkan rawatan serta mengurangkan kesesakan di hospital.
Beliau turut menyambut baik kenaikan insentif bagi petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100, yang disifatkannya penting dalam memperkukuh penyampaian rawatan kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Katanya, perkhidmatan berkenaan memainkan peranan penting di Sabah memandangkan sebahagian penduduk perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berkata bantuan saringan kesihatan awal turut penting bagi membantu golongan yang layak mengesan penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan tidak menunggu sehingga mengalami gejala penyakit.
Dr Davina turut menyambut baik peluasan pelepasan cukai individu bagi perbelanjaan tertentu, termasuk penjagaan selepas bersalin, pusat jagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan serta perbelanjaan berkaitan vaksinasi dan haiwan peliharaan.
Katanya, langkah itu berpotensi membantu keluarga mengurus perbelanjaan berkaitan kesihatan dan penjagaan dengan lebih baik.
Beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman Sabah.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada doktor muda yang bakal menikmati kepastian kerjaya menerusi tawaran jawatan tetap itu, sambil mengingatkan mereka supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengabaikan kesihatan diri sendiri.-Dakwat Rakyat Post
