PUTATAN: Tiga rumah teres satu tingkat musnah dalam kebakaran di Taman Jumbo, di sini, petang tadi, manakala api hampir merebak ke sebuah lagi rumah berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, seramai 28 anggota dari BBP Putatan dengan bantuan BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang dikerahkan bagi mengawal kebakaran.
Operasi turut membabitkan dua jentera bomba, dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah lori tangki.
“Pasukan menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran dan menghalang api daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, Sabah Electricity turut memutuskan bekalan elektrik di Taman Jumbo dan kawasan sekitarnya bagi memastikan keselamatan sepanjang operasi pemadaman.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, manakala maklumat mengenai mangsa belum diperoleh setakat ini.- Dakwat Rakyat Post
