KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan Negara 2027 sebagai belanjawan komprehensif yang mampu meringankan beban kewangan rakyat selain mencerminkan kekukuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, pelbagai manfaat yang diumumkan menerusi belanjawan itu merangkumi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan masyarakat secara keseluruhan.
“Belanjawan ini membuktikan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara walaupun berdepan kesan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan Negara 2027 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam pembentangan belanjawan itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah kekal sebagai penerima peruntukan Persekutuan terbesar dengan jumlah RM18.6 bilion bagi tahun hadapan.
Jumlah itu meningkat sebanyak 6.25 peratus berbanding RM17.6 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah tahun ini.
Anwar turut mengumumkan peruntukan RM3.3 bilion bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Dalam sektor pendidikan, kerajaan bersetuju menggandakan jumlah tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri itu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Bagi memperkukuh sistem bekalan elektrik di Sabah, kerajaan turut bersetuju melaksanakan pemasangan sistem Static Synchronous Compensator (STATCOM) di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.
Projek Talian Penghantaran Southern Link juga akan diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di negeri ini.
Turut menyaksikan siaran langsung pembentangan belanjawan itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, pembantu-pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan negeri.-Dakwat Rakyat Post
