KUANTAN: Seramai 49 pegawai muda Maritim Malaysia menamatkan latihan asas selama 10 bulan menerusi Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 13/2025 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Gebeng, di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, latihan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi berkenaan dalam melahirkan pegawai yang kompeten, berintegriti dan berdaya tahan.
Menurutnya, pembangunan modal insan menjadi asas penting bagi memastikan pegawai maritim bersedia menghadapi cabaran tugas penguatkuasaan, khususnya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Sepanjang latihan, pelatih menjalani pendedahan intensif merangkumi ilmu kelautan, undang-undang maritim, navigasi, komunikasi, pertolongan cemas, renang, persenjataan dan penguatkuasaan.
Mereka turut menjalani penempatan praktikal selama tiga bulan di kapal-kapal Maritim Malaysia bagi mendapatkan pengalaman operasi serta memahami kehidupan sebenar di laut.
Daripada keseluruhan pelatih, 27 orang merupakan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam, manakala 22 lagi mempunyai pengalaman daripada agensi penguatkuasaan dan keselamatan, termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Penjara Malaysia.
Mohd Rosli berkata, sejak penubuhannya pada 2005, Maritim Malaysia telah melahirkan 855 pegawai maritim, termasuk 65 pegawai wanita, serta 2,972 anggota maritim, termasuk 192 anggota wanita.
Beliau berkata, AMSAS terus memainkan peranan penting dalam membentuk profesionalisme, kepimpinan dan jati diri warga Maritim Malaysia, selain berpotensi diperkasakan sebagai pusat kecemerlangan latihan maritim yang menjadi rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pada majlis itu, empat pelatih turut menerima anugerah kecemerlangan berdasarkan pencapaian sepanjang kursus.
Leftenan Muda Maritim Mohamad Aiman Mohd Nissfu menerima Anugerah Pelatih Sukan Terbaik, manakala Leftenan Muda Maritim Wan Farhan Naim Wan Mat Khalir menerima Anugerah Pelatih Akademik Terbaik.
Anugerah Pelatih Kawad Terbaik diberikan kepada Leftenan Muda Maritim Muhammad Hafizuddin Haron, sementara Leftenan Muda Maritim Mohamad Ismail Salleh dinobatkan sebagai Pelatih Keseluruhan Terbaik Siri 13/2025.
Perbarisan itu turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi Maritim Malaysia, wakil jabatan berkaitan serta ahli keluarga pelatih.-Dakwat Rakyat Post
