Ayer Keroh: Selepas hampir tujuh bulan tidak menjamah makanan, anakonda hijau sepanjang 2.74 meter yang dinamakan Diana ‘menghadiahkan’ 10 anak di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.
Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerard Wong berkata, kejayaan kelahiran 10 ular anakonda hijau atau nama saintifiknya Eunectes pada 5 Oktober lalu di pusat konservasi berkenaan berlaku selepas Diana melalui tempoh bunting kira-kira 190 hari.
Menurutnya, ia bukan sahaja menjadi pencapaian penting dalam usaha konservasi hidupan liar, malah mencatat kejayaan pembiakan generasi kedua spesies itu.
Katanya, kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan pusat berkenaan sebagai pemegang populasi anakonda hijau terbesar di Malaysia, dengan jumlah keseluruhan melebihi 40 ekor.
“Kejayaan ini cukup bermakna kerana Diana sendiri antara anak anakonda yang dilahirkan di taman ini pada Ogos 2020.
“Kelahiran generasi kedua ini membuktikan usaha konservasi dan pembiakan spesies eksotik dari Amerika Selatan dapat dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia,” katanya pada sidang media kelahiran 10 ekor anak ular spesies ular terbesar di dunia di Taman Rama-Rama dan Reptilia di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Gerard berkata, kejayaan berkenaan turut membuktikan kemampuan serta kemudahan yang dimiliki taman itu dalam melaksanakan pembiakan spesies reptilia eksotik pada tahap membanggakan.
Menurutnya, pembiakan anakonda hijau yang juga antara spesies ular terbesar di dunia memerlukan penjagaan rapi, terutama dari segi kawalan suhu, kebersihan air dan aliran arus yang menyerupai habitat semula jadinya di sekitar Sungai Amazon.
“Selain menjadi tarikan pendidikan, kejayaan pembiakan Diana turut memberi peluang kepada pasukan kami untuk mendokumentasikan dan memahami dengan lebih dekat proses reproduktif anakonda hijau,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Gerard berkata, taman itu turut mencatatkan kejayaan apabila 23 anak buaya kaiman berjaya ditetaskan daripada sekumpulan telur.
Menurutnya, reptilia berkenaan juga berasal dari Amerika Selatan, termasuk kawasan habitat di sekitar Lembangan Amazon.
Katanya, pihak taman merancang menganjurkan karnival khas dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada orang ramai dan pencinta haiwan melihat dengan lebih dekat anak anakonda hijau serta anak buaya kaiman berkenaan.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk sesi menamakan anak haiwan, melukis muka dan pameran pendidikan sempena meraikan kejayaan pembiakan dua spesies reptilia itu.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 9 Oktober 2026
