KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan lebih jelas kepada pewujudan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan anak muda Sabah, bukan sekadar memberi perhatian kepada jumlah peruntukan yang diumumkan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Zaidi bin Jatil berkata, pembangunan ekonomi yang lebih seimbang penting bagi memastikan anak muda mempunyai peluang untuk membina masa depan tanpa perlu berhijrah keluar dari Sabah.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran Sabah pada 2025 masih berada pada 7.2 peratus berbanding kadar nasional 3.0 peratus.
“Angka ini menunjukkan Sabah masih berdepan cabaran besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyat, khususnya anak muda.
“Kita mahu anak muda Sabah mempunyai lebih banyak pilihan pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah di negeri sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Zaidi berkata AMK Sabah mencadangkan kerajaan mempertimbangkan inisiatif khas bagi mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak muda Sabah secara berperingkat menerusi kerjasama kerajaan, agensi pembangunan dan sektor swasta.
Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada sektor berpotensi seperti perindustrian, pelancongan, pertanian moden, teknologi dan ekonomi digital.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan juga perlu menyediakan dana khas keusahawanan anak muda Sabah termasuk geran permulaan, pembiayaan mikro, latihan perniagaan dan bimbingan pemasaran.
“Keutamaan wajar diberikan kepada usahawan muda luar bandar yang terlibat dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, makanan, perkhidmatan dan perniagaan digital.
“Kita mahu anak muda bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, tetapi turut berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Zaidi berkata aspek pendidikan dan latihan kemahiran, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), turut perlu diperkukuh bagi memastikan kemahiran anak muda selari dengan keperluan industri.
Katanya, lebih banyak pusat latihan kemahiran perlu diwujudkan atau diperkasakan di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi membuka akses pendidikan serta latihan kepada golongan berkenaan.
Selain itu, beliau berkata Belanjawan 2027 perlu mengambil kira tekanan kos sara hidup yang dihadapi golongan muda, termasuk kos perumahan, pengangkutan dan makanan.
Menurutnya, akses kepada perumahan mampu milik dan skim pembiayaan rumah pertama perlu diperluas bagi membantu anak muda yang sudah bekerja dan berkeluarga memiliki kediaman sendiri.
Dalam pada itu, Zaidi berkata pembangunan infrastruktur asas di luar bandar perlu terus dipercepatkan, khususnya berkaitan jalan raya, bekalan air, elektrik dan capaian internet.
Beliau berkata kemudahan berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan peluang pendidikan, aktiviti ekonomi dan kehidupan harian anak muda.
“Kita mahu anak muda yang tinggal di kampung diberikan peluang yang adil untuk menikmati kemajuan teknologi dan pembangunan ekonomi seperti mereka yang tinggal di kawasan bandar,” katanya.
Zaidi turut menggesa peruntukan bagi pembangunan sukan, aktiviti belia, program kepimpinan dan kesukarelawanan di peringkat daerah serta luar bandar dipertingkatkan.
Katanya, kemudahan sukan dan program pembangunan belia penting dalam melahirkan generasi yang sihat, berdisiplin, berintegriti dan mempunyai semangat kemasyarakatan.
Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Zaidi berkata pelaksanaannya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh generasi muda Sabah menerusi pembangunan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan peluang pekerjaan.
Beliau berkata, berdasarkan statistik DOSM bagi 2024, Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia pada 17.7 peratus, walaupun kadar itu menunjukkan penurunan berbanding 2022.
“Anak muda Sabah tidak meminta keistimewaan, tetapi mahukan peluang yang adil untuk membina masa depan.
“Kita mahu mereka mampu belajar, bekerja, berniaga dan berjaya di negeri sendiri tanpa perlu meninggalkan kampung halaman kerana kekurangan peluang,” katanya.
Zaidi berkata kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui perubahan sebenar yang dapat dirasai rakyat.
AMK Sabah, katanya, bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan aspirasi, pandangan dan keperluan anak muda di peringkat akar umbi. -Dakwat Rakyat Post
